Syed Saddiq

Meskipun menjadi menteri pada usia 25 tahun dan mencatatkan sejarah baharu negara, Syed Saddiq tidak kekok menjawab soalan yang berkaitan dengan kementeriannya.

Pada sesi soalan lisan dalam persidangan Parlimen pertama beliau, Syed Saddiq menjawab soalan Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung isu migrasi anak muda dari luar bandar ke bandar.

Syed Saddiq berjaya memberikan impresi positif daripada jawapan panjang lebar yang diberikan.

Beliau menjawab soalan Mohd. Shahar dengan jelas, tenang dan menunjukkan bahasa tubuh yang meyakinkan bagi seorang anak muda dalam dunia politik, apatah lagi sebagai seorang menteri.

Dalam jawapannya, Syed Saddiq menjelaskan bahawa statistik antara 2013 hingga 2015 menunjukkan ber­laku peningkatan migrasi dalam kala­ngan anak muda.

Beliau berkata, anak muda berusia 25 hingga 34 tahun mencatatkan jumlah terbesar iaitu 35 peratus, manakala yang berusia 15 hingga 24 tahun pula 25 peratus.

“Ini bermakna satu daripada dua belia dari luar bandar akhirnya akan berhijrah ke bandar,” kata beliau.

Yang menarik perhatian, Syed Saddiq bersikap matang apabila tidak kekok memuji inisiatif Kementerian Belia dan Sukan ketika dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang akan diteruskan bagi menangani isu berkenaan.