Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri sebaliknya berkata, langkah itu bertujuan memberi galakan kepada pemandu yang berhasrat untuk memiliki permit persendirian tanpa terikat di bawah kontrak syarikat teksi.

Katanya, ada pemandu yang terikat pajakan syarikat teksi kerana mereka mempunyai masalah membuat pinjaman bank dan ada juga tidak mampu meminjam, jadi syarikat teksi membantu.

“Justeru, kerajaan tidak akan hapuskan kuota permit kepada syarikat tersebut, cuma kita menjawab keresahan pemandu teksi yang tidak mahu dibelenggu dengan sistem pajak itu, jadi kita membuka ruang kepada mereka untuk memainkan peranan yang sama rata.

“Malah, ada pemandu teksi yang merupakan pesara dan tidak mendapat pinjaman bank, jadi syarikat teksi yang tampil menolong mereka, takkan kita mahu mansuhkan permit begitu sahaja,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Norliza Abdul Rahim dalam Sidang Dewan Negara hari ini.

Norliza bertanya sama ada penawaran geran sebanyak RM5,000 untuk membeli kenderaan baharu dan permit persendirian kepada pemandu teksi yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2017, bakal memansuhkan pemberian permit kepada syarikat teksi pada masa akan datang.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan kedua Norliza sama ada perlindungan insurans ditawarkan kepada penumpang yang menggunakan teksi Uber dan Grab Car, Nancy berkata, belum ada keputusan muktamad mengenai perkara itu berikutan pindaan terhadap kedua-dua perkhidmatan itu hanya dibentangkan dalam Sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Pada masa ini, pemandu mempunyai insurans sendiri, terpulang kalau ada penum­pang yang juga membeli insurans sendiri. Itu bergantung kepada mereka. Jadi persoalan akan ditawarkan perlindungan insurans kepada penumpang atau tidak, kita tidak dapat memutuskan sebab semua itu belum lagi diluluskan oleh Parlimen,” katanya.