Kehendak Yang Dipertua Dewan Rakyat itu sukar untuk dilaksanakan kerana keputusan secara bertulis memerlukan masa untuk dikeluarkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya turut membantah keputusan tersebut berdasarkan Akta Ke­salahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) iaitu seseorang Ahli Parlimen yang diisytiharkan melakukan kesalahan berhak berada di Dewan Rakyat sehingga tempoh rayuan selama 14 hari berakhir.

“Jika lihat Perkara 36 (a)(2) Akta 5, Hakim Mahkamah Pilihan Raya hanya akan mengambil sesuatu keputusan mukta­mad jika tiada rayuan difailkan dalam tempoh 14 hari.

“Jika notis rayuan difailkan, beliau sepatutnya masih layak berada dalam persidangan Parlimen ini sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Mohamad Ariff mengarahkan Sivarraajh keluar Dewan Rakyat dan mahu beliau mendapatkan pengesahan sama ada diberi penangguhan, susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangannya pada PRU-14.

Berikutan itu, Ahmad Zahid menuntut Yang Dipertua Dewan Rakyat menarik kembali keputusan berkenaan dan mengakui kesilapan yang telah dilakukan.

“Yang Dipertua perlu adil pada kedua-dua pihak. Dalam hal ini, kami Ahli Parlimen BN tidak menegakkan benang yang basah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, peguam Sivarraajh sudah berjumpa dan memberi penjelasan kepada Mohamad Ariff semalam, khususnya mengenai peruntukan dalam Akta 5.

Jelasnya, perkara tersebut sepatutnya sudah cukup untuk Yang Dipertua Dewan Rakyat menarik balik keputusan semalam.