FADILLAH YUSOF

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dasar penswastaan yang dilaksanakan sejak 1988 menyaksikan kerajaan melakukan banyak penambahbaikan terhadap terma dan perjanjian konsesi bagi memastikan kepentingan rakyat dipelihara.

“Berdasarkan kepada Laporan Makmal Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) 2010, dianggarkan pengambilan semua lebuh raya oleh kerajaan adalah sebanyak RM383.3 bilion dan ia dilihat tidak sesuai untuk kita ambil alih ke­seluruhan tol.

“Lebih baik kita tengok penstruktu­ran semula yang sedang kita buat sekarang, apa yang pasti, ia adalah situasi menang-menang antara pihak swasta dan pengguna,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, an­tara ­penambahbaikan yang dilakukan ialah mewujudkan klausa perkongsian hasil tol dengan pihak kerajaan apabila melebihi jumlah unjuran trafik serta menamatkan perjanjian lebih awal apabila syarikat konsesi mencapai kadar pulangan dalaman.

“Selain itu, klausa mekanisme kajian semula tol, tahap perkhidmatan, penetapan petunjuk prestasi utama (KPI ) juga telah diwujudkan,” katanya.

Sementara itu Fadillah berkata, dalam Bajet 2018, peruntukan awal sebanyak RM400 juta disalurkan kepada Kementerian Kerja Raya untuk penyelenggaraan rutin jalan Persekutuan di seluruh negara.

“Pada Mac 2018, Kementerian Kewangan menyalurkan lagi peruntukan tambahan sebanyak RM155 juta bagi tujuan berkala,” katanya.