Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek berkata, peranti AIS tersebut mampu menghantar isyarat kedudukan dan lokasi tepat kepada bilik kawalan (di Putrajaya) sepanjang mereka berada di perairan negara untuk aktiviti perikanan.

"Jika mereka dikesan masuk ke perairan negara lain, bilik kawalan akan membuat panggilan kepada kapal tersebut supaya mereka dapat berpatah balik semula ke perairan negara," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Budiman Mohd. Zohdi (BN-SungaiBesar) mengenai jumlah terkini bot pukat tunda kelas B yang telah dilengkapi sistem AIS dan berapakah tangkapan terhadap nelayan yang ingkar kepada arahan pemasangan AIS.

Menurutnya, hingga Oktober tahunini, sebanyak 1,116 daripada 2,630 vesel zon B telah memasang peranti AIS.

"Pemasangan AIS ke atas vesel pukat tunda ini dijangka selesai Mei 2018 dan tindakan mewajibkan pemasangan AIS ini ke atas pukat tunda hanya akan berkuat kuasa selepas tarikh tersebut.

Setakat ini tiada tindakan dikenakan terhadap vesel yang belum memasang sistem AIS," katanya.

Nogeh berkata, AIS juga memudahkan aktiviti perikanan nelayan di laut dipantau, justeru memudahkan bantuan disalurkan sekiranya nelayan menghadapi kes kecemasan. - BERNAMA