Jamil Khir Baharom

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ke­ra­jaan memaha­mi rintihan dan ra­yu­an pemain industri yang mahukan proses ke­lulusan sijil disegerakan.
Berikutan itu katanya, Jakim melaksanakan empat inisiatif yang dilihat berjaya mempercepatkan urusan kelulusan sijil berkenaan.

Katanya, atas inisiatif yang dilakukan itu, Jakim telah berjaya meluluskan 85 peratus permohonan sijil dalam tempoh sebulan sahaja.
“Ada syarikat tidak sampai tiga hari hantar permohonan, sudah dapat kelulusan.

“Ini bagi kategori yang tidak ada sensitif kepada barangan pengeluaran atau tercemar dengan barang lain,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr. Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai inisiatif terbaharu dilaksanakan Jakim dalam menambahbaik pro­ses pengeluaran sijil halal pada sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Antara inisiatif yang dilaksanakan Jakim itu ialah proses audit se­rentak (dokumen dan lapangan), halal express way dan halal fast lane.

Mengulas lanjut, Jamil Khir memberitahu, inisiatif-inisiatif itu telah menambahkan kekerapan mesyuarat daripada dua kali sebulan kepada lapan kali dalam tempoh sama atau dua kali seminggu.

Katanya, proses itu telah menghasilkan keputusan pengesahan dalam tempoh tiga hari bekerja bagi permohonan produk tidak kritikal.

“Pada masa sama, Jakim telah memperkenalkan kategori pemohon syarikat ‘white list’ iaitu syarikat pemegang sijil pengesahan halal Malaysia yang komited dan patuh kepada prosedur serta memberikan komitmen tinggi terhadap pensijilan halal,” jelas beliau.