Pada mulanya, sesi soal jawab berkaitan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berjalan lancar sehingga Maszlee bertindak mendakwa kementeriannya me­letakkan proses konsultasi dengan semua pihak agar keputusan dibuat berteraskan bottom up dan bukan lagi top down seperti banyak dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Dakwaan itu menyebabkan beberapa ahli Parlimen pembangkang mula mengungkit isu kasut termasuk melabel Maszlee sebagai ‘menteri kasut’.

Maszlee kemudian menem­pelak ahli Parlimen pembangkang dengan menyifatkan me­reka hanya mementingkan isu kasut dan stoking berbanding isu serius yang lain.

“Malang sekali bagi ahli Parlimen BN hanya penting bagi kasut dan stoking, itulah tahap ahli Parlimen BN, mereka gagal untuk memahami isu penting,” katanya.

Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN- Kuala Krau) bangkit mencelah meminta Menteri Pendidikan supaya tidak lari daripada soalan asal.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak) kemudian melabel beliau sebagai ‘menteri kasut’.

Maszlee yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam meminta rakyat tidak mencontohi mentaliti wakil rakyat pembangkang.

“Dalam hal ini, saya memuji Ahli Parlimen Rembau (Khairy Jamaluddin) yang sangat memahami isu. Segelintir ini hanya berminat untuk memainkan isu kasut sahaja.

“Malaysia adalah negara de­mokratik, bagi mereka yang hanya kepalanya dipenuhi de­ngan ‘kasut’, kita biarkan mereka untuk melawan. Janganlah mencontohi wakil rakyat kasut seperti ini,” katanya.

Situasi pertikaman lidah antara kedua-dua pihak itu bagaimanapun berjaya dikawal oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) mengenai perkembangan kajian holistik berkaitan pengiktirafan UEC, Maszlee berkata, jawatankuasa khas bagi mengkaji mengenai UEC, telah ditubuhkan.

Katanya, kajian holistik mempunyai dua komponen iaitu ka­ji­an dalaman dijalankan oleh pihak kementerian dan proses pengum­pulan maklumat oleh Pasukan Petugas UEC yang dianggotai tokoh-tokoh masyarakat terlibat dengan UEC dan mereka berada di luar sistem tersebut.

“Pasukan ini mengumpul pandangan melalui libat urus dengan pemegang taruh isu UEC. Proses libat urus itu akan membawa semua pihak yang pro, kritikal dan neutral.

“Ini perlu dilakukan kerana kerajaan terdahulu tidak langsung melakukan usaha libat urus dan hanya membiarkan isu ini dalam keadaan dipolitikkan, sama ada mereka pro atau anti di sudut yang lain. Tiada usaha serius daripada kerajaan terdahulu,” katanya.

Jelasnya, laporan penuh ja­watankuasa itu akan dibentangkan kepada Kabinet pada tahun depan.