Ini kerana terdapat spekulasi tentang rang undang-undang persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat bagi membolehkan ia diguna pakai dalam PRU-14.

Selain persempadanan semula, rang undang-undang menangani berita palsu juga akan dibentangkan dan satu lagi yang menjadi minat ramai ialah Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

Dr. Shamrahayu Abdul Aziz
Dr. Shamrahayu Abdul Aziz

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, dalam tempoh sidang Dewan Rakyat yang singkat kali ini sebelum Parlimen dibubarkan, ketiga-tiga rang undang-undang berkenaan dilihat menjadi antara yang ditunggu oleh rakyat.

“Sekarang yang hangat menjadi perbualan ialah mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya, rang undang-undang bagi menangani berita palsu serta RUU355.

“Selain daripada mendengar titah Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, rang undang-undang ini yang paling dinantikan rakyat jika ia dibentangkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengikut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), urusan persempadan semula seluruh negara telah selesai dan hanya Sela­ngor yang berada pada peringkat syor kedua.

Undang-undang berita palsu pula diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari lalu bagi mengekang penularan berita palsu yang menggugat keselamatan negara.

Shamrahayu yang juga pakar perlembagaan berkata, sidang Dewan Rakyat kali ini perlu digunakan sebaiknya untuk menyelesaikan urusan-urusan berkaitan dengan kerajaan dan rakyat.

“Memang tidak menjadi kesa­lahan mengikut undang-undang jika Parlimen dibubarkan lebih awal sebelum tarikh akhir persidangan pada 5 April.

“Cuma rakyat tidak dapat kepastian jika ada rang undang-undang yang masih tergantung, jadi lebih baik jika Parlimen selesai dahulu sebelum dibubarkan,” katanya.

Roosme Hamzah
Roosme Hamzah

Dalam pada itu, Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah berkata, pihaknya masih belum menerima makluman mengenai pembentangan usul atau rang undang-undang berkenaan.

“Di peringkat Parlimen, masih tidak mempunyai makluman mengenainya, cuma pada minggu keempat dan kelima akan diadakan perbahasan bagi urusan kerajaan dan rang undang-undang,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah pula berkata, pembentangan laporan akhir syor kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya adalah di bawah kuasa budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd. Hashim Abdullah
Mohd. Hashim Abdullah

Mengulas isu yang sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, sidang Dewan Rakyat kali ini dijangka memberikan tumpuan kepada pembentangan rang undang-undang bagi menangani berita palsu, persempadanan semula kawasan pilihan raya serta rang undang-undang melibatkan alam sekitar.

“Saya jangka rang undang-undang persempadanan semula kawasan pilihan raya dan rang undang-undang bagi menangani berita palsu akan dibentangkan pada minggu akhir sidang Dewan Rakyat iaitu antara 2 hingga 5 April.

“Rang undang-undang ber­kait­­an akta pergigian dan alam sekitar pula merupakan rang undang-undang yang mesti diselesaikan memandangkan ia dibawa daripada sidang terdahulu,” katanya.