Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke-14, Persidangan Dewan Rakyat kali ini berbeza memandangkan kerajaan kini diketuai oleh Pakatan Harapan yang sinonim slogan Malaysia Baharu.
Wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI dan FARHANA JONI menyoroti informasi-informasi menarik mengenai sidang Dewan Rakyat kali ini yang akan berlangsung mulai Isnin ini selama 20 hari.

 

KUALA LUMPUR 13 Julai -  Selepas 61 tahun, Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke-14, Persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini selama 20 hari akan menjadi tumpuan apabila Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya menduduki serta mengetuai blok pembangkang dalam sidang berkenaan.

Perubahan itu berlaku selepas Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan sekali gus menyaksikan kemunculan kali kedua beliau di Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Pada asalnya berdasarkan keputusan pilihan raya itu, Pakatan Harapan yang disertai oleh PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) menguasai 124 kerusi manakala BN memperoleh 79 kerusi, bagaimanapun tiga daripada 54 ahli Parlimen UMNO mengisytihar menjadi ahli Parlimen Bebas manakala 19 ahli Parlimen daripada gabungan parti Sarawak iaitu PBB, SPDP, SUPP dan PRS keluar daripada BN. Keputusan tersebut menyebabkan BN kini mempunyai 54 kerusi di Dewan Rakyat.

Selain Pakatan Harapan dan BN, persidangan kali ini juga akan disertai Pas yang mempunyai 18 kerusi Parlimen. Mereka akan turut menduduki blok pembangkang.

Kewibawaan BN selaku pembangkang buat pertama kali akan teruji pada sidang kali ini sama ada parti itu mampu memainkan peranan sebagai pembangkang yang kredibel di Parlimen dalam membawa suara rakyat termasuk isu berkaitan orang Melayu dan agama Islam yang kini hangat diperkatakan.

Jawatan Ketua Pembangkang juga menarik perhatian apabila ia pertama kali akan disandang oleh Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid. Beliau dianggap paling sesuai menduduki jawatan itu berikutan pengalaman dalam Kabinet termasuk pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sidang Dewan Rakyat kali ini juga tambah menarik apabila pemimpin Pakatan Harapan yang pernah ‘bikin panas’ antaranya Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kini menduduki kerusi menteri dan timbalan menteri dalam blok kerajaan Pakatan Harapan.

Malah, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin yang pernah terpalit dengan kontroversi kerana mengungkapkan kata-kata ‘kalau saya Tuhan’ sehingga menggamatkan sidang Dewan Rakyat tahun lalu kini turut memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pastinya ramai yang ingin melihat kemampuan pemimpin Pakatan Harapan yang dahulunya bak singa menyerang kerajaan BN di Parlimen untuk tangkas mempertahankan hak-hak rakyat di samping menyuburkan sistem demokrasi negara.

Persidangan kali ini juga akan dimulai dengan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memandangkan pelantikan ini amat penting bagi membolehkan mereka mengendalikan urusan mesyuarat yang pastinya akan sentiasa panas.

Terdapat beberapa nama disebut-sebut sebagai calon berpotensi menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat antaranya bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan BN, Tan Sri Rais Yatim; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Yusof.

Selain tiga nama berkenaan, nama ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang turut disebut-sebut sebagai calon Yang Dipertua Dewan Rakyat kali ini.

Bagaimanapun, calon yang layak untuk menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu menjalani proses undian terlebih dahulu di Dewan Rakyat dijangka Isnin ini.

Suasana berbeza juga dapat dilihat pada sidang kali ini apabila ia menerima sentuhan pemimpin muda antaranya, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran, 22, dan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, 25, yang pastinya menjadi sandaran golongan muda agar suara mereka disampaikan kepada kerajaan.

Sesi kali ini dijangka menyaksikan Kerajaan Pakatan Harapan akan membawa usul pemansuhan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta Akta Antiberita Tidak Benar.