Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, secara keseluruhan golongan tersebut menerima bantuan kerajaan yang dikurangkan lebih RM500 juta berbanding kerajaan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, menurut beliau yang langsung tidak boleh diterima ialah tidak di­nyatakan langsung status inisia­tif jaringan keselamatan sosial yang dilaksanakan Barisan Na­sional (BN) seperti Bantuan Mu­sim Tengkujuh dan Bantuan Khas menunggu Musim Menuai.

“Bantuan ini bukan untuk beli undi mereka. Bantuan ini tentang mereka dapat makan atau tidak. Ini kerana bagi golongan ini, ketika musim te­ngkujuh, ketika menunggu mu­sim menuai, mereka hilang punca pendapatan utama.

“Sekarang saya nak tanya, kalau bukan kerajaan yang bantu golongan ini sewaktu musim-musim sebegini, siapa yang nak bantu mereka,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar sebagai mewakili Ke­tua Pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Khairy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Kabinet Bayangan BN berkata, Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan PH mempunyai empat prinsip utama.

“Empat prinsip tersebut adalah pertama, copy paste; kedua,tukar nama atau rebran­ding; ketiga, kesinambungan atau continuation dan keempat, belanjawan tidak lengkap dan ia merupakan kesinambungan daripada pentadbiran BN sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang bangkit mencelah perbahasan tersebut juga me­nyatakan bahawa Belanjawan 2019 itu sekadar copy paste dan penjenamaan semula daripada kerajaan BN.

“Agaknya adakah belanjawan ini adalah belanjawan air mata rakyat?” katanya.