Senator Khairul Azwan Harun berkata, cadangan yang dikemukakan kerajaan itu adalah bertepatan dan sudah tiba masanya untuk negara ini mempunyai kumpulan pengundi yang lebih besar.

"Saya ucapkan tahniah kepada Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) yang komited mengusulkan umur had mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun... kita tak mahu mereka yang berusia 18 tahun ini hilang fokus terhadap demokrasi.

"Kalau inilah yang dibawa pihak kerajaan, saya cadangkan Dewan Negara untuk sokong memandangkan telah banyak negara maju seperti Perancis dan Amerika Syarikat telah melaksanakan umur mengundi 18 tahun," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Pada sesi perbahasan tersebut, Khairul Azwan turut mencadangkan agar satu subjek baharu iaitu demokrasi dan perlembagaan diperkenalkan di peringkat sekolah menengah bagi memberi pendidikan mengenai demokrasi negara kepada pelajar.

Terdahulu, media melaporkan Syed Saddiq telah bertemu Peguam Negara, Tommy Thomas pada Julai lalu, bagi membincangkan pindaan undang-undang untuk memperkasakan anak muda dengan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Syed Saddiq berkata, usul yang merupakan antara janji dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan itu akan dibawa ke kabinet dan Parlimen tidak lama lagi. - BERNAMA