Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, oleh kerana kementerian tersebut mendapat bajet tambahan sebanyak RM5 juta tahun ini, pelbagai galakan akan diberikan kerana bajet yang dimiliki meningkat berbanding tahun lepas.

“Jadi ini merupakan peluang terbaik pihak kami untuk menggamit lebih ramai golongan muda menyertai banyak lagi sektor-sektor penting yang ada dalam kementerian ini termasuk menceburi sektor agromakanan.

“Peruntukan sebanyak RM47 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga amat penting dalam membangunkan semua sektor dan kita tidak boleh ketinggalan sebarang teknologi baharu termasuk sistem pengurusan sedia ada,” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2019 diadakan di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut tentang peruntukan tersebut, Salahuddin menambah, kementeriannya juga menerima peruntukan sebanyak RM18 juta untuk automasi industri agromakanan serta RM52 juta lagi untuk pelaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani.

“Saya rasa dengan peruntukan yang diberikan hampir RM4.4 bilion ini, kita akan fokus dalam usahawa untuk meningkatkan penglibatan golongan muda agar lebih aktif serta maju dalam bidang-bidang yang diperkenalkan,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh tentang program Ekspo Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) di MAEPS Serdang dari 22 November hingga 2 Disember depan, Salahuddin menyeru agar orang ramai berkesudian untuk meluangkan masa hadir ke program itu.

“Berbaki 20 hari lagi MAHA 2018 akan bertemu dengan orang ramai dan kami harap, kehadirannya lebih ramai berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“MAHA 2018 kali ini bukan sahaja memperkenalkan aktiviti baharu seperti permainan dron, robotik, aneka pameran serta pendedahan sektor kulinari, bidang-bidang baharu akan diturut dipamerkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE