RAFIZI RAMLI

Naib Presiden PKR itu menyatakan tidak banyak yang boleh dilakukan beliau walaupun Pakatan Harapan membentuk kerajaan sekiranya mereka menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Biasanya saya berfikiran terbuka namun saya tidak pasti akan kembali ke arena politik, lebih-lebih lagi kalau Pakatan Harapan menang. Tiada apa yang tinggal bagi orang seperti saya untuk dilakukan.

“Ramai yang akan tampil ke hadapan dan mahu menjadi menteri. Jadi, biar mereka lakukan. Perwatakan saya lebih sesuai untuk mengangkat fail seperti ini,” katanya kepada pemberita di ba­ngunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, Rafizi ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam PRU-14.

Dalam perbahasan terakhir beliau itu, Rafizi turut meminta maaf kepada semua ahli Parlimen khususnya yang mewakili Barisan Nasional (BN) di atas segala kritikan yang dilemparkannya sepanjang penggal ini.

Beliau juga menjelaskan, walaupun sering bertikam lidah dengan ahli-ahli Parlimen BN dalam sidang Dewan Rakyat, hakikatnya mereka bersahabat.

“Kinabatangan (Datuk Seri Bung Mokhtar Radin), Lenggong (Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah), Tanjong Karang (Tan Sri Noh Omar) yang sering mengkritik keras saya tetapi sebenarnya kami baik di luar,” jelasnya.

Masa depan Rafizi dalam politik menjadi tidak menentu selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA) pada 7 Februari lalu.

Beliau didapati bersalah kera­na mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), National Meat & Livestock Sdn. Bhd. dan Agroscience Industries Sdn. Bhd., enam tahun lalu.