Ahli Parlimen Barisan Nasional Tambun itu sebelum ini cukup dikenali sebagai seorang pemim­pin yang lebih selesa memberi hujah ekonomi berbanding politik.

Enam pemimpin yang dise­butnya itu ialah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad; Pre­siden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Dengan tegas, beliau menzahirkan pendiriannya bahawa keenam-enam pemimpin terbabit tidak mampu menjadikan Malaysia lebih baik.

“Kamu tahu siapa Dr. Mahathir? Saya tahu, saya bekas Menteri Kewangan II. Saya tahu apa yang berlaku semasa beli Pos Malaysia. Apa berlaku semasa Perwaja? Saya tahu. Kami fikir dia akan dengar kepada kamu? Tidak.

“Kamu tahu siapa Muhyiddin? Kamu tidak tahu, saya tahu. Kamu tahu siapa Anwar? Saya orang Anwar, saya tolong dia pergi rumah di Bukit Damansara selepas berhenti Timbalan Perdana Menteri dan selama 10 hari tengok dia. Saya kata tidak.

“Boleh kita ikut Kit Siang? Boleh kita ikut Guan Eng? Boleh kita ikut Mat Sabu? Boleh keenam-enam mereka bersatu untuk menjadikan Malaysia lebih baik pada masa depan? Saya tidak percaya mereka boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Husni turut menterjemahkan kritikan beliau terhadap keenam-enam pemimpin itu menerusi falsafah Cina ‘ikut satu kuda, bukan enam kuda’.

Beliau juga menzahirkan rasa bangga apabila hanya mengikut ‘satu kuda’ atau pemimpin iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak daripada satu parti, Barisan Nasional (BN).

Relevannya mengikut ‘satu kuda’, jelas Ahmad Husni, kera­na ia boleh diperbetulkan sekiranya silap, berbanding ‘enam kuda’ berbeza.

“Bila saya keluar Kabinet, beberapa bulan selepas itu saya jumpa Perdana Menteri dan beri­tahu kita mahu bebas rasuah. Apa kata beliau? Ya Husni dan sekarang kita lihat sedang berlaku proses itu.

“Lepas itu saya kata letak dalam kementerian besar-besar unit Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kita lihat, sedang buat. Maknanya kita ikut satu pemimpin tiada masalah. Kita boleh berubah berbanding enam pemimpin berbeza, pemikiran yang belum tentu dapat selesaikan masalah,” katanya.