Walaupun ada dalam kalangan mereka yang mampu memperoleh pendapatan lumayan dan pekerjaan yang stabil, namun demi minat yang mendalam serta niat untuk membantu golongan susah, mereka sanggup berhenti kerja demi mengejar minat itu.

Bagi Nadia Rahmat, 28, yang bertugas di hotel milik Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sebelum ini, dia nekad untuk meletak jawatan selepas beberapa tahun berkhid­mat kerana minat yang mendalam untuk menjadi sukarelawan.

Menurutnya, dia yang terlibat dalam kerja kemanusiaan sejak 2013 hanya berpeluang menerokai negara di Asia Tenggara setakat ini.

“Saya bercita-cita nak buat kerja amal di seluruh dunia. Setakat ini pendedahan dan latihan yang diberikan hampir 90 peratus termasuk daripada segi mental dan fizikal. Tambahan pula misi ini akan berlanjutan selama dua bulan dan saya perlu tinggalkan ibu bapa yang berada di Shah Alam.

“Oleh itu, saya sangat berharap dapat sampaikan tentang kesusahan yang perlu diberi perhatian kepada masyarakat dunia di samping membuka mata dan hati mereka melalui pengalaman serta gambar yang saya peroleh nanti,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Sesi Perjumpaan dan Ramah Mesra Bersama Peserta [email protected] Tengah di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohamad Ridh­wan Mohd. Rahim, 26, berkata, dia yang terpilih untuk ke Turki berasa bersyukur dan gembira terpilih menyertai misi ini selepas menyimpan minat yang mendalam sejak kecil.

Katanya, dia menggagap pemi­lihan ini sebagai rezeki selepas dipertanggungjawabkan untuk menjaga golongan kurang upaya sebagai fisioterapi di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya percaya dengan rezeki yang diberikan oleh Nya (Allah). Ini merupakan peluang terbaik saya selepas 12 tahun terlibat dalam aktiviti kemanusiaan. Apa yang penting, kedua ibu bapa saya memberi sokongan dan restu,” ujarnya.

Bagi bekas peserta yang juga alumni MyCorps, Ashraff Rahman, 35, dia yang telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan sebelum ini me­nyangkal persepsi buruk dalam kala­ngan masyarakat berhubung aktiviti ini.

Jelasnya, dia mula terbabit dalam misi ini sejak 2011 berpendapat, aktiviti sebegini mampu dijadikan sebagai prospek kerjaya jika seseorang individu serius dan fokus dalam bidang ini.

“Pekerja sukarelawan yang terlibat dalam misi mempunyai tanggungjawab kerana apa-apa keputusan bergantung kepadanya. Sebenarnya ia merupakan satu bidang yang luas. Saya sendiri te­lah membuktikan mampu untuk pergi lebih jauh.

“Kini saya boleh memberi tunjuk ajar kepada peserta lain de­ngan menjadi mentor, jurucakap dan jurulatih. Saya sendiri kini bekerja dengan sebuah pertubuhan di United Kingdom dan ini bukti yang boleh merubah semua tanggapan salah masyarakat sebelum ini,” katanya.