Ab. Aziz Kaprawi

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi (gambar) berkata, kerajaan dalam proses memperincikan bayaran yang dikenakan untuk misi pencarian berdasarkan anggaran antara AS$20 juta sehingga AS$70 juta.

“Rundingan itu turut melibatkan beberapa terma termasuk syarat pembayaran hanya dibuat setelah bangkai sebenar pesawat itu ditemukan dan disahkan milik MH370 oleh pihak ketiga seperti syarikat Boeing,” katanya pada sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan lanjut sekiranya bangkai pesawat MH370 tidak dapat ditemukan dalam operasi pencarian yang baharu.

Mengulas lanjut, Ab. Aziz berkata, Malaysia mempertimbangkan tawaran Ocean Infinity berdasarkan prestasi syarikat itu yang mempunyai teknologi terkini dan peralatan yang canggih.