Pindaan tersebut antara lain memperuntukkan pembayaran anuiti kepada anggota tentera yang diberhentikan daripada perkhidmatan serta pegawai yang menamatkan perkhidmatan kurang daripada 20 tahun perkhidmatan dan memilih untuk menyertai skim anuiti veteran.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101) itu dibentangkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum untuk bacaan kali pertama.

Selain itu, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Pindaan) 2017 juga dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz.

Satu lagi rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2017 turut dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi untuk bacaan kali pertama hari ini. - UTUSAN ONLINE