S. A Vigneswaran
S. A Vigneswaran

Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri S. A Vigneswaran meluluskan RUU itu selepas mendapat sokongan majoriti daripada ahli Dewan Negara, kira-kira pada pukul 7.30 malam.

Rang undang-undang tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Razali ketika meng­gulung perbahasan RUU berkenaan berkata, kerajaan semakin serius menangani kesalahan jenayah seksual agar undang-undang sedia ada dapat diperkasakan sekali gus membanteras gejala tersebut daripada terus menular.

“RUU ini memberi penekanan kepada membela nasib mangsa pelakuan seksual yang ketika ini masih terumbang-ambing kerana peruntukan dalam undang-undang sedia ada tidak khusus untuk melindungi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Senator Datuk Indera Hoh Khai Mun ketika membahas mencadangkan supaya definisi `perogol’ diperluaskan supaya RUU berkenaan lebih komprehensif.

Kata beliau, peruntukan RUU terbabit tidak merangkumi demografi lelaki dan perkara itu menjadi halangan untuk mangsa (lelaki) untuk mendapat keadilan, justeru pindaan perlu dilakukan dengan memasukkan golongan tersebut agar melindungi semua pihak.

“Mangsa rogol tidak semestinya wanita sahaja, lelaki juga boleh menjadi mangsa dalam keadaan tertentu. Malah, definisi rogol dalam sistem perundangan negara luar seperti di England telah dipertingkat menjadi lebih menyeluruh,” katanya.

Sebelum ini, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 telah diluluskan di persidangan Dewan Rakyat pada 5 April lalu.

Di bawah pindaan RUU itu, hukuman sebat dikenakan bagi kesalahan seksual di bawah Seksyen 376 (hukuman rogol), 376B (hukuman sumbang mahram), 377B (hukuman melakukan persetubuhan seksual bertentangan dengan aturan tabii), 377C (hukuman melakukan persetubuhan seksual yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa rela) dan 377E (kesalahan merangsang kanak-kanak).

Malah, menerusi RUU itu, seseorang yang menyebabkan kecederaan terhadap bekas suami atau isteri, kanak-kanak atau anggota lain keluarga yang disabitkan kesalahan juga boleh dikenakan hukuman penjara mandatori.

Rang undang-undang itu akan memperluaskan seksyen 326A Kanun Keseksaan kepada kesalahan yang dilakukan terhadap bekas suami atau isteri, kanak-kanak atau ahli keluarga lain yang tidak terhad bagi mereka masih dalam perkahwinan sahaja.