Azalina
Azalina

RUU itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan diluluskan selepas dibacakan kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri S.A. Vigneswaran, kira-kira pukul 8.35 malam.

Azalina ketika sesi penggulu­ngan berkata, RUU itu menggariskan mengenai keterangan saksi kanak-kanak, walaupun berlawanan dengan mana-mana ketera­ngan, tidak kira sama ada secara bersumpah atau tidak disokong, tetap diterima di mahkamah untuk disabitkan kesalahan.

“Perkara ini me­ngam­bil kira situasi ka­nak-kanak yang senang menjadi mangsa kerana tiada sesiapa yang mempercayai golongan ini, sedangkan kajian pakar mendapati kanak-kanak tidak pandai menipu,” katanya.

Pada masa sama, Azalina memberitahu, RUU tersebut adalah akta pertama dan menjadi sejarah dalam sistem perundangan negara kerana mewujudkan definisi pornografi terhadap kanak-kanak.

“Definisi kanak-kanak menurut RUU ini adalah melakukan sesuatu perkara seksual mengenai seseorang yang kelihatan se­perti kanak-kanak, imej grafik atau visual kelihatan seakan kanak-kanak antara yang membantu pihak berkuasa untuk mendakwa pesalah,” katanya.

RUU berkenaan turut mene­tapkan hukuman lima tahun penjara, enam sebatan dan minimum bayaran denda berjumlah RM5,000.

Jelas Azalina, meskipun diakui ada beberapa pihak yang mempertikaikan mengenai sebatan ke atas pesalah yang ber­usia, namun kerajaan bertegas tidak akan berganjak daripada kekal dengan hukuman tersebut.

Menurutnya, kerajaan tidak akan bertoleransi terhadap pesalah berkenaan kerana tidak berfikir terlebih dahulu sebelum membuat jenayah terhadap kanak-kanak.

RUU yang bertujuan melin­dungi kanak-kanak daripada jenayah seksual dan dicadangkan terpakai kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, selaras dengan Akta Kanak-kanak 2001, telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 4 April lalu.