Pindaan rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri yang mencadang­kan supaya kenderaan e-hailing menjadi satu kenderaan perkhidmatan awam tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.

Nancy turut membentangkan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 untuk bacaan kali pertama yang antara lain mencadangkan takrif kenderaan e-hailing dimasukkan ke dalam Jadual Pertama Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 itu termasuk peruntukan bahawa tiada seorang pun boleh mengendalikan perniagaan pe­ngantaraan melainkan jika memegang lesen yang dimohon da­ripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Nancy berkata, kedua-dua RUU akan dibentang untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Selain itu, Rang Undang-Undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 yang memperuntukkan penubuhan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) juga dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini oleh Timbalan Menteri Dalam Ne­geri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Berdasarkan rang undang-undang itu, penubuhan Aksem bertujuan mengawal sempadan darat negara daripada apa-apa kegiatan penyeludupan atau aktiviti lain yang salah di sisi undang-undang.

Antara cadangan fungsi Aksem adalah menyelaras pelaksanaan penguatkuasaan dengan agensi lain di sempadan darat negara.

Dua lagi rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 dan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 turut dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.