RUU itu dibaca oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Berikut ialah soalan-soalan lazim (FAQ) berkaitan RUU yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

1. Apakah tujuan kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu ini serta cabarannya memandangkan terdapat beberapa undang-undang sedia ada untuk mengekang isu penyebaran berita tidak benar?

JAWAPAN: Isu penyebaran berita tidak benar merupakan masalah global ekoran revolusi teknologi komunikasi berkembang dengan pesat dan terlalu pantas. Sejak kebelakangan ini, Malaysia sentiasa berhadapan pelbagai cabaran kesan penyebaran berita tidak benar yang bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh memberi ancaman terhadap keselamatan, ekonomi, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat serta negara, justeru pendekatan baharu dengan memperkenalkan satu RUU baharu adalah amat kritikal.

Beberapa negara luar mula menyedari isu penyebaran berita tidak benar merupakan ancaman global besar kepada dunia maklumat (information world) yang perlu ditangani secara efektif dan segera. Sebagai contoh di Singapura, satu Jawatankuasa Pilihan (Select Committee On Deliberate Online Falsehoods: Causes, Consequences And Counter measures) ditubuhkan untuk mengkaji masalah berita tidak benar, jenis-jenis pelaku, motif mereka dan kesan penyebarannya. Ini termasuklah kemungkinan mengadakan satu undang-undang baharu bagi menanganinya.

Filipina juga telah menggubal suatu RUU khas untuk mena­ngani penyebaran berita tidak benar, iaitu Anti-Fake News Bill 2017 yang memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana orang yang menawarkan, menerbitkan, mengedar atau menyebarkan berita tidak benar.

Justeru harus difahami bahawa walaupun terdapat beberapa undang-undang berkaitan, namun sehingga hari ini masalah itu tidak dapat dikawal secara efektif berikutan perkemba­ngan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas dan kompleks.

Undang-undang yang se­ring disebut dalam perkara ini seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah digubal pada atau sebelum tahun 1990-an yang tidak dapat menangani sifat kesalahan kompleks sei­ring peredaran teknologi terkini. Sehubungan itu, elemen baharu akan diperkenalkan dalam RUU ini.

Antara elemen baharu yang dicadangkan termasuk memperuntukkan pemakaian luar wilayah (extra territorial application) dengan hasrat menunjukkan keseriusan kerajaan menangani kesalahan penyebaran berita tidak benar oleh mana-mana orang di luar Malaysia.

Selain takrif, penjelasan atau ilustrasi mengenai maksud “berita tidak benar”, RUU ini juga akan memperuntukkan kesalahan mengenai bantuan kewa­ngan bagi tujuan penyebaran berita tidak benar, kesalahan sekiranya seseorang itu tidak menghapuskan sesuatu penyia­ran berita tidak benar dan sebagainya.

Pada masa yang sama, RUU ini akan mewujudkan langkah sementara (interim measures) untuk menyekat penyebaran sesuatu berita tidak benar sementara siasatan dan pendakwaan sesuatu kes sedang dijalankan.

2. Merujuk kepada, definisi mengenai “berita tidak benar” dalam RUU ini, adakah definisi tersebut bersifat umum atau spe­sifik?

JAWAPAN: Kerajaan mengambil inisiatif memberikan takrif jelas dan khusus mengenai “beri­ta tidak benar” dalam RUU yang dicadangkan termasuk mempe­runtukkan beberapa ilustrasi untuk menunjukkan keadaan-keadaan berlakunya sesuatu penyebaran berita tidak benar.

RUU ini mentafsirkan “berita tidak benar” termasuk apa-apa berita , maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu sama ada dalam bentuk rencana, visual, atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Perlu diberi penekanan bahawa buat masa ini, tidak ada mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan penyebaran berita tidak benar yang memberikan definisi khusus mengenai “berita tidak benar”.

3. Dalam konteks ini, siapakah yang akan menentukan sesuatu berita atau informasi itu tidak benar atau sebaliknya?

JAWAPAN: Dalam perkara ini, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk memberikan satu pihak yang neutral dan adil iaitu Mahkamah untuk menentukan sama ada sesuatu berita atau informasi itu tidak benar atau sebaliknya. Yakni, dengan proses undang-undang yang sewajar­nya (by due process of law).

Kuasa akan diberikan kepada Mahkamah untuk membuat pe­rintah bagi menghapuskan apa-apa penerbitan yang mengan­dungi berita tidak benar.

4. Terdapat dakwaan bahawa RUU ini akan menyekat kebebasan bersuara, apakah pandangan kerajaan mengenai perkara ini?

JAWAPAN: Ini dakwaan tidak berasas dan bermotifkan politik. Tiada mana-mana undang-undang yang digubal dan diluluskan oleh Parlimen bertujuan menyekat hak kebebasan bercakap dan bersuara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apatah lagi, di bawah ke­pimpinan Perdana Menteri, kerajaan melaksanakan transformasi undang-undang (legal transformation) seperti melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau ISA, memperkenalkan Peaceful Assembly Act atau Akta Perhimpunan Aman 2012 yang menyuburkan lagi hak bersuara rakyat di negara ini.

RUU ini digubal selaras dengan punca kuasa sebagaimana yang diperuntukkan dalam pe­renggan (a) Fasal 2 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. RUU yang dicadangkan ini bertujuan untuk melindungi orang awam daripada lambakan berita tidak benar dan pada masa yang sama bertujuan untuk memastikan hak kebebasan bercakap dan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati.

5. Adakah RUU ini akan memperuntukkan hukuman lebih berat?

JAWAPAN: RUU ini juga berunsur pencegahan (deterrence) bagi memberi mesej yang jelas bahawa setiap individu hendaklah bertanggungjawab terhadap perkongsian maklumat yang benar dan sihat. Pihak didapati bersalah dalam menyebarkan berita tidak benar boleh dikenakan denda serta penjara atau kedua-duanya sekali. Selain itu, Mahkamah juga boleh memerintahkan mereka yang didapati bersalah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang terjejas.

Pada masa yang sama, ia juga akan memberikan mesej jelas bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak benar yang boleh memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara malah akan terus memastikan keselamatan Negara terus terpelihara. Justeru, sememangnya, hukuman lebih tinggi diperuntukkan berdasarkan degree sesuatu kesalahan termasuk pengenaan denda dan hukuman penjara.

6. Adakah RUU ini hanya untuk mengawal penularan berita tidak benar dalam media sosial?

JAWAPAN: RUU ini mengawal selia penyebaran berita tidak benar dalam mana-mana medium penerbitan dan tidak terbatas kepada media sosial sahaja.

7. Adakah dengan adanya RUU ini akan menangani isu penyebaran berita tidak benar secara total?

JAWAPAN: RUU ini dapat menzahirkan komitmen Kerajaan untuk menangani penularan berita tidak benar ekoran revolusi teknologi komunikasi yang berkembang dengan pesat dan terlalu pantas.

Sehubungan dengan itu, RUU ini akan melengkapi (complement) peruntukan undang-undang sedia ada. Pada masa yang sama, skop RUU ini luas dan eksklusif bagi menangani kesalahan-kesalahan mengenai berita tidak benar secara menyeluruh dan efektif. – UTUSAN