Pindaan itu juga akan membuatkan perkhidmatan penyewaan rumah percutian dalam talian, Airbnb turut tertakluk di bawah akta tersebut.

Kelulusan tersebut diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee pada pukul 7.15 malam selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Rang undang-undang itu diluluskan secara sebulat suara oleh ahli-ahli Parlimen.

Terdahulu beberapa lagi rang undang-undang diluluskan termasuklah RUU Pusat Jagaan (Pindaan) 2017, RUU Kewangan (No. 2) 2017 untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 serta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Turut diluluskan ialah RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2017, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2017 serta RUU Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Warga Emas Swasta 2017. - UTUSAN ONLINE