MOHAMED AZMIN ALI
MOHAMED AZMIN ALI

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengiraan royalti tersebut dibuat berdasarkan keuntu­ngan kasar dan bukannya atas keuntungan bersih.

Menurut beliau, sekiranya pe­nambahan royalti petroleum kepada 20 peratus hendak dilaksanakan maka ia akan mengambil masa kerana pindaan perlu dilakukan akta tersebut terlebih dahulu.

“PH telah membuat analisis struktur kos pengeluaran petroleum oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan analisis ini dibuat dalam keadaan kekangan data dan maklumat pada ketika itu untuk melihat sama ada peratusan jumlah royalti petroleum bagi negeri-negeri pengeluar petroleum wajar ditingkatkan kepada 20 peratus.

“Namun demikian, cadangan ini tidak dapat dilaksanakan se­gera kerana ianya bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang meminta kerajaan menyatakan bila pemberian 20 peratus royalti kepada negeri-negeri pengeluar minyak akan dilaksanakan.

PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk meningkatkan royalti bagi semua negeri pengeluar petroleum kepada 20 peratus, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Ketika ini, Sabah dan Sarawak menerima royalti petroleum lima peratus manakala Kelantan dan Terengganu hanya menerima wang ihsan.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan akan memenuhi janji memberikan royalti 20 berdasarkan keuntungan dan bukan jualan kasar peratus kepada ne­geri-negeri pengeluar minyak.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, sekiranya Petronas mahu menambah jumlah ro­yalti kepada 20 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar petroleum kepada negeri-negeri pengeluar minyak, maka ia akan memberi implikasi serius terhadap kedudukan kewangan Petronas dan kerajaan Persekutuan.

“Kementerian Hal Ehwal Eko­nomi sedang meneliti perkara ini terutama berkaitan fungsi dan bidang kuasa agensi berkaitan dan berkepentingan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Petronas bagi memastikan pembahagian royalti petroleum adil dan telus dengan mengambil kira implikasi kewangan kepada negara termasuk kesan kepada hasil kerajaan, industri dan rakyat.

“Mekanisme pembayaran ro­yalti petroleum sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan di­bincangkan dengan negeri-negeri pengeluar minyak dan gas untuk mencapai kata sepakat,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Mohamed Azmin berkata, buat masa ini, Petronas perlu membayar 10 peratus secara tunai kepada kerajaan daripada hasil pengeluaran kasar minyak dan gas dan daripada jumlah itu, sebanyak lima peratus akan di terima oleh kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri pengeluar sumber.

Menurut beliau, bayaran itu akan dibuat dua kali iaitu pada bulan Februari dan Ogos dan peratusan itu mengikut nilai kasar setong pada harga pasaran tanpa perlu mengambil kira keuntungan.