Johari Abdul Ghani

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, daripada jumlah tersebut peruntukan subsidi untuk produk petroleum melibatkan sejumlah RM102.4 bi­lion manakala minyak masak pula sebanyak RM6.6 bilion.

“Kerajaan telah mula melaksanakan rasionalisasi subsidi sejak 2013 dengan mengalihkan secara berperingkat kaedah pemberian bantuan itu daripada pukal kepada yang lebih tersasar.

“Di bawah prinsip ini, pemberian subsidi tetap diteruskan, tetapi disasarkan hanya kepada golongan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan,” katanya menjawab soalan lisan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Johari, langkah rasionalisasi subsidi itu berjaya meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan me­ngagih sumber kewangan serta tenaga dengan lebih tersusun.

Katanya, ketirisan perbelanjaan kerajaan juga berjaya dikurangkan melalui pengurangan kegiatan penyeludupan dan penyelewengan bara­ngan bersubsidi oleh warga asing.

“Sebahagian penjimatan itu disalurkan semula secara terus kepada golongan berpendapatan rendah dalam bentuk bantuan tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan persekolahan.

“Sebahagian lagi digunakan untuk pembiayaan program dan projek pembangunan serta pe­ngangkutan awam yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.