Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, pihaknya masih dalam peringkat perbinca­ngan de­ngan beberapa pihak berkepentingan berhubung cadangan berkenaan.

Katanya, langkah ini merupakan inisia­tif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan mero­kok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

“Pewartaan ini adalah komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia juga merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

“Saya memohon sokongan anda semua. Jika peraturan ini tidak dipatuhi, mereka terbabit boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya sewaktu menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Kesihatan dalam sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Tambah Boon Chye, selain restoran terbuka, pihaknya turut mencadangkan bilik me­rokok di Parlimen ditutup mulai Oktober ini bagi menjadikan keseluruhan kawasan berkenaan sebagai bebas merokok.
 Katanya, cadangan ini akan dilaksanakan sekiranya tidak ada sebarang halangan.

Malah jelasnya, seta­­kat ini di bawah Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017, terdapat 23 tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok termasuk pusat hiburan, teater (kecuali pub, disko, kelab malam dan kasino), dalam lif atau tandas awam, tempat makan berhawa di­ngin, dalam kenderaan awam atau hentian awam, lapangan terbang, kawasan premis kerajaan dan kawasan yang digunakan untuk apa-apa aktiviti perhimpunan.

“Selain daripada Peraturan 11, di bawah Peraturan 22, Menteri Kesihatan juga boleh menentukan sesuatu kawasan sebagai kawasan larangan merokok.

“Sehingga 2018, terdapat lima negeri yang mewartakan peraturan itu dan kementerian komited mewartakan semua tempat awam sebagai kawasan larangan me­rokok,” ujarnya.