Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, Saifuddin terus didesak untuk menyatakan pendirian kerajaan sama ada meratifikasi atau tidak Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Antara wakil pembangkang yang dilihat lantang mendesak Saifuddin menyatakan pendirian tersebut ialah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak), Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) dan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu).

Kegagalan Saifuddin untuk menyatakan pendirian dan dilihat berdolak-dalik menambah kekecohan sehingga turut menarik celahan oleh penyokong kerajaan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang).

“Kenyataan Perdana Menteri yang mohon menangguhkan itu agak jelas, tidak bermakna kita mempertikai hak kesaksamaan dan keadilan, jadi juga mohon ditangguhkan, apapun kita berikan penjelasan ianya memerlukan ratifikasi peringkat antarabangsa.

“Oleh yang demikian bagi saya untuk menolak kemungkinan ketegangan kita harus memperinci semula dan mengambil kira kebimbangan masyarakat dan sebahagian besar masyarakat negara kita. Saya mohon menteri berikan penjelasan selaras apa yang disebut oleh Perdana Menteri dan didukung oleh ramai pemimpin PH untuk tidak meneruskan cadangan ini sehinggalah perkara prinsip dimuktamadkan,” jelas Anwar.

Sementara itu, menurut Khairy, kegagalan kerajaan melakukan sebarang penglibatan awam sebelum mengumumkan untuk meratifikasi ICERD telah membawa kepada kemarahan masyarakat.

“Dalam sebulan ini saya tidak nampak sebarang penglibatan awam yang mendalam sehingga berlaku masalah seperti hari ini, bukannya disebabkan himpunan UMNO dan Pas tetapi kemarahan orang Melayu biasa oleh kerana kegagalan melakukan penglibatan awam.

“Apabila kita umumkan akan meratifikasi tanpa membuat sebarang penglibatan awam, inilah yang berlaku apabila debat awam menjadi sesuatu yang tidak dapat dikawal dan kemarahan timbul,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin ketika mengakhiri penggulungannya berkata, keputusan sama ada kerajaan mahu meratifikasi atau tidak ICERD hanya akan diputuskan oleh Kabinet dan akan mengambil kira semua perkara-perkara yang telah ditimbulkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE