Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, untuk tujuan tersebut, penstrukturan semula dengan memindahkan kakitangan jabatan-jabatan lain sedang dilaksanakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

“Memang kita tak boleh benarkan memegang sesuatu jawatan berterusan untuk tempoh yang lama, mungkin dua atau tiga tahun, kita kena rombak.

“Sekarang ini, Datuk Bandar sedang lakukan penstrukturan semula dengan memindahkan kakitangan-kakitangan DBKL ke jabatan-jabatan lain. Kita dapati sebahagian pegawai-pegawai ini memegang jawatan bertahun-tahun, perkara ini tak boleh diteruskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, menurut Khalid, amalan rasuah dalam DBKL adalah lebih menjurus kepada kakitangan-kakitangan peringkat bawahan.

“Golongan kakitangan bawahan ini ramai juga terlibat dengan rasuah, kita boleh tanganinya apabila kita pindahkan mereka daripada satu jawatan ke satu jawatan lain.

“Apabila mereka duduk lama sangat dalam jawatan tertentu, mereka membina hubungan rapat dengan kontraktor, pengusaha kedai-kedai tertentu supaya boleh berikan layanan yang istimewa dan sebagainya,” katanya.

Namun begitu, jelasnya, rombakan kakitangan tersebut tidak melibatkan pegawai-pegawai atasan memandangkan posisi tersebut terhad kepada empat jawatan sahaja.- UTUSAN ONLINE