Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pada masa ini, kerajaan sedang dalam proses kajian bagi memuktamadkan rang undang-undang tersebut.

Beliau berkata, hal ini kerana perkara tersebut bukan sahaja melibatkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tetapi juga Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.

“Pada masa sama, kita juga perlu melihat Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana terdapat rungutan sama ada lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) itu diperlukan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) berkenaan perkhidmatan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Ka Siong berkata, berdasarkan maklumat daripada penyedia perkhidmatan e-hailing tersebut, jumlah keseluruhan pemandu Uber dan Grabcar pada masa ini adalah kira-kira 50,000 hingga 60,000 orang.

“Daripada jumlah tersebut, hanya 20 peratus merupakan pemandu aktif manakala selebihnya adalah pemandu separuh masa yang mempunyai pekerjaan tetap.

“Kebanyakan pemandu Uber dan Grabcar ini adalah di kawasan Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang,” jelasnya.