Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd. Shahar Abdullah berkata, sikap itu juga melambangkan mentaliti dan tahap kematangan Ramkarpal yang masih gagal membuang ‘DNA’ pembangkang dalam dirinya.

Ahli Parlimen Paya Besar itu memberitahu, mereka masih memainkan sentimen melabel parti lawan dan sikap ‘memberontak’ yang ditunjukkan langsung tidak menggambarkan diri mereka sebagai penyokong kerajaan di dalam Dewan Rakyat.

“Sebagai Ahli Parlimen yang telah dipilih oleh rakyat dalam terma ‘Malaysia Baharu’ yang mereka sendiri ciptakan, ketinggian moral dan nilai adab sepatutnya menjadi keutamaan dalam perbahasan, sementelah Parlimen adalah institusi yang penuh istiadat dan protokol, perjalanannya mestilah sentiasa disantuni dengan moral dan tatasusila yang tinggi.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof atas ketegasan beliau dalam mengendalikan sidang dengan penuh profesional dan mengambil tindakan terhadap Ramkarpal, ini penting bagi memastikan Ahli-ahli Dewan yang lain sentiasa menghormati persidangan yang sedang berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Mohamad Ariff mengarahkan Ramkarpal meninggalkan sidang Dewan Rakyat hari ini ekoran keengganan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menarik balik perkataan ‘samseng’ yang dilemparkannya terhadap Pemuda UMNO yang didakwa menyerang bapanya, mendiang Karpal Singh di pekarangan Parlimen beberapa tahun lalu.

Mohd. Shahar menambah, Pemuda UMNO meminta Ramkarpal bersikap seperti seorang Ahli Parlimen yang bertanggungjawab dan berhati besar dengan memohon maaf atas tindakan yang menghina Dewan Rakyat.

“Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, adalah amat wajar untuk dikenakan tindakan tegas,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE