Rahimah Mahamad yang dilantik semula sebagai Senator melafaz sumpah ikrar di hadapan S. A. Vigneswaran di Bangunan Parlimen, semalam. BERNAMA

Upacara angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri S. A. Vigneswaran dalam sidang Dewan Negara yang bermula hari ini dan dijangka berakhir 27 April ini.

Rahimah, 64, berkata, beliau berjanji akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dengan membawa isu-isu kritikal yang menjadi kemelut masyarakat di Kelantan seperti masalah bekalan air bersih dan kebajikan golongan ibu tunggal.

Menurutnya, perkara tersebut merupakan antara janji-janji kerajaan negeri ketika pilihan raya umum lalu namun masih gagal ditunaikan sehingga hari ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ke­tua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed atas kepercayaan yang diberikan kepada saya.

“Saya berjanji akan menggunakan manfaat ini sebaik-baik­nya dengan membawa isu-isu kritikal yang menjadi kemelut masyarakat di Kelantan, antaranya masalah bekalan air bersih dan kebajikan golongan ibu tunggal,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rahimah juga memegang jawatan Pengerusi Kelab Wanita Penyayang dan Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam.