Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Russayani Ismail, berkata, bayaran melalui potongan gaji sebanyak dua hingga 15 peratus daripada pendapatan dipercayai tidak akan membebankan graduan.

“Ia juga merupakan cara kutipan yang lebih efisyen kerana jadual pembayaran balik tersebut hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

“Selain menjadi satu angka yang praktikal untuk kelangsungan PTPTN, jumlah tersebut juga hampir dengan angka RM1,400 yang pernah diperolehi melalui kajian transformasi pembiayaan pendidikan tinggi Malaysia 2012 melalui pembiayaan PTPTN,” katanya.

Russayani yang juga ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Negara (Pendapat) berkata, cadangan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini adalah berdasarkan analisis empirikal dan bukannya menerusi persepsi atau emosi. – UTUSAN ONLINE