Sebaliknya tegas Zambry, program berkenaan diadakan sebagai satu pendekatan holistik daripada kerajaan negeri dalam usaha mendekati, menyelami dan menyelesaikan masalah rakyat.

Menurut Zambry, program ber­kenaan juga sebenarnya te­lah dianjurkan sejak tahun 2010 dikenali sebagai program turun padang yang turut melibatkan kaedah hampir sama serta penglibatan agensi serta jabatan berkaitan.

“Pembangkang anggap program permukiman ini bersifat kempen pilihan raya. Jadi di samping menafikan tanggapan yang tidak berasas ini, saya turut tertanya-tanya adakah usaha pihak kerajaan dalam menyelami dan menyelesaikan masalah rak­yat boleh ditakrifkan sebagai berkempen?

“Sedangkan ia sebenarnya mencerminkan tanggungjawab sesebuah kerajaan yang dipi­lih oleh rakyat. Sebaliknya jika kerajaan tidak ambil peduli dan tidak mendekati rakyat tentulah terjahan yang dilontarkan pula tidak lain tidak bukan menuduh kerajaan tidak ambil berat terhadap rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chang Lih Kang (DAP-Teja) dalam sidang DUN di sini hari ini.

Zambry berkata, beliau yakin rakyat dapat membuat penilaian sebenar dalam perkara berkenaaan kerana rakyat merupakan hakim sebenar dalam isu tersebut.

Dalam pada itu, Zambry me­lahirkan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan program berkenaan yang dilihat te­lah memberi impak yang cukup besar dalam menambah baik kehidupan rakyat di negeri ini.

Kata beliau, ini kerana melalui pendekatan itu barisan ke­pemimpinan kerajaan negeri termasuk pegawai-pegawai kanan jabatan dan agensi negeri serta kerajaan Persekutuan turut mendekati rakyat secara langsung serta membuka ruang dan peluang untuk menyelesaikan permasalahan rakyat terlibat.

Kata Zambry, ia termasuk perkara berkaitan tanah, kemudahan infrastruktur, prasarana serta masalah lain.

“Dari semasa ke semasa program ini juga telah ditambah baik antaranya termasuk menambah tempoh program berlangsung kepada lima hari selain melibatkan lebih banyak program bersama masyarakat yang dilakukan secara santai.

“Ini untuk pastikan program yang dijalankan benar-benar memberi impak seperti dihasratkan iaitu memastikan tidak ada rakyat di negeri ini akan tertinggal dan terpinggir dari arus pembangunan khususnya penduduk di luar bandar,” katanya.