Mohd. Johari Baharom

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum berkataan, kenyataan Rafizi berhubung prestasi kewangan LTAT sebelum ini dibuat dengan hanya bersandarkan laporan bagi tahun kewangan 2016.

Beliau menjelaskan, setakat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, nilai aset LTAT adalah sebanyak RM9.59 bilion manakala akaun caruman ahli mencatatkan jumlah RM8.61 bilion sekali gus membuktikan kedudukan kewangan lembaga itu adalah stabil serta tidak berdepan sebarang masalah.

“Bertahun-tahun sebelum ini kita lihat bagaimana keuntungan dan dividen yang diberikan, tidak boleh sandarkan kepada satu tahun sahaja. LTAT dah tubuh bertahun-tahun, kalau tidak urus dengan baik, ia tidak kukuh se­perti sekarang ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2017 dalam Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang yang bertujuan menjaga kebajikan sosioekonomi anggota tentera termasuk yang tidak berpencen telah diluluskan setelah dibacakan kali ketiga oleh Mohd. Johari di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Pindaan terhadap rang undang-undang itu antara lain mem­peruntukkan pembayaran anuiti kepada anggota tentera yang diberhentikan daripada per­khidmatan serta pegawai yang menamatkan kurang daripada 20 tahun per­khidmatan dan memilih untuk menyertai skim anuiti veteran.

Pada 31 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan enam inisiatif yang dilancarkan kerajaan sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika mereka berkhidmat mempertahankan kedaulatan negara dahulu.

Salah satu inisiatif yang diumumkan Najib pada Perhimpunan Veteran ATM dan Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2017 di Seri Kembangan adalah Skim Anuiti Veteran (SAVe) yang memberikan pendapatan bulanan se­umur hidup kepada bakal veteran tidak berpencen sepertimana veteran yang mendapat pencen bulanan.