Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata perbelanjaan tertinggi iaitu 43 peratus adalah untuk penyewaan kem-kem latihan.


"Sepanjang 14 tahun pelaksanaannya, seramai 885,956 belia berjaya dilatih dan daripada jumlah itu seramai 356,411 bekas pelatih telah menyertai briged sukarelawan khidmat negara," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) mengenai jumlah perbelanjaan akumulatif PLKN dan hasilnya. 


Dalam pada itu, Mohamad berkata, walaupun manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas menyatakan program itu akan dibatalkan, namun kementeriannya telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai semula keberkesanan dan implikasi penutupan program itu sebelum membuat keputusan.

Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa khas tersebut berikutan keputusan beberapa kajian bebas oleh pelbagai pihak antaranya, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2010 dan Universiti Sains Malaysia pada 2014 mendapati program PLKN memberi peningkatan positif kepada sifat patriotisme dan integrasi nasional peserta.

“Kita mengambil pandangan taruh seperti ibu bapa, bekas pelatih dan agensi yang berkaitan. Satu kajian semula sedang dilaksanakan kementerian bagi menilai keberkesanan dan implikasi penutupan PLKN sebelum keputusan akhir diputuskan,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun katanya, sekiranya program yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Pertahanan pada ketika itu diteruskan, terdapat beberapa perkara perlu diperbaiki termasuk ketirisan penyelenggaraan dan kokurikulum PLKN.

“Kita lihat dari sudut perbelanjaan misalnya kalau hendak diteruskan mana yang boleh kita potong. Soal sewa kem, sewa bas misalnya kenapa begitu tinggi dan ke mana belia-belia ini selepas kursus? Adakah mencapai apa yang dikehendaki dalam tujuan pewujudannya?

“Saya yakin kalau PLKN diuruskan dengan betul dengan kokurikulum yang mantap, tutup segala ketirisan, promram ini boleh memberi faedah,” katanya.- BERNAMA