Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, Kerajaan Pusat merancang untuk membina 51,992 rumah mampu milik di negeri itu, namun sehingga kini hanya 11,000 buah dapat didirikan berikutan gagal mendapat kerjasama sepenuhnya.

“Sepatutnya kerajaan PKR Se­langor kena beri kerjasama de­ngan memberi green lane (lampu hijau). Buat satu jawatankuasa khas bagi mencepatkan proses ini.

“Kemudian jangan letak syarat macam yang dikenakan syarikat swasta. Saya beri contoh di Selangor, daripada tanah pertanian nak ubah ke tanah perumahan ambil masa. Apabila sudah ubah, kena bayar premium dan premium yang dikenakan ikut harga syarikat swasta. Apabila sudah dapat, kena tunggu kebenaran merancang pula.

“Bila sudah siap letak, syarat kena buat Rumah Selangorku tetapi kerajaan negeri satu sen tidak keluar duit, hanya letak syarat,” katanya.

Beliau berkata demi­kian ketika menjawab soalan tambahan Khalid Abdul Samad (PAN-Shah Alam) berhubung jumlah rumah mampu milik yang telah dibina Kerajaan Pusat dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Noh berkata, sikap pimpinan kerajaan negeri yang melayan agensi perumahan kerajaan seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) seperti syarikat swasta juga menjadi halangan utama mengapa Kerajaan Pusat sukar untuk merealisasikan pembinaan rumah mampu milik di Selangor.

“Kerajaan Pusat mengeluarkan bajet berjumlah RM2.2 bilion khusus untuk pembinaan rumah mam­pu milik kerana kita ingin pastikan rumah yang dijual kepada rakyat di bawah harga pasaran.

“Tetapi hal ini tidak akan menjadi kenya­taan jika mana-mana kerajaan negeri termasuk kerajaan PKR Selangor tidak memberi kerjasama,” katanya.

Katanya, sikap kerajaan Pas Kelantan yang memberi laluan kepada PR1MA untuk melaksanakan projek perumahan mampu milik di negeri itu wajar menjadi ikutan kerajaan negeri lain.

“Kerajaan Pas Kelantan beri kerjasama baik kepada PR1MA kerana mereka tidak memikirkan hal politik seperti di Selangor.

“Kita ingin buat rumah PR1MA di Selangor tetapi macam-macam halangan daripada kerajaan PKR Selangor pula,” katanya.