Azalina Othman

Bacaan kali pertama rang undang-undang itu dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Bacaan kali kedua dan ketiga rang undang-undang tersebut akan dijalankan pada sidang kali ini juga,” katanya.

Pindaan yang dicadangkan terhadap subseksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta 234 itu bertujuan memberi kuasa kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman ma­ti atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan terhadap individu yang disabitkan atas kesalahan mengedar dadah.

Menurut rang un­dang-undang itu, mah­­­kamah hanya bo­leh menjatuhkan hu­ku­man penjara se­umur hidup dan sebatan dengan mengambil kira peruntukan yang dicadangkan dalam perenggan baharu 39B (2A)(a)(b) atau (c).

Merujuk kepada tiga perenggan itu, pertimbangan selain hukuman mati hanya boleh diberikan sekiranya tiada bukti menunjukkan berlaku kegiatan menjual atau membeli dadah berbahaya semasa pesalah ditangkap, tiada peng­libatan ejen provokasi dan penglibatan tertuduh cuma terhad kepada mengangkut, membawa, menghantar atau mengirim dadah berbahaya.

Selain itu, mah­ka­mah hendaklah me­ngambil kira pe­r­akuan secara bertulis oleh pendakwa raya bagi menentukan individu yang disabitkan kesalahan di bawah subsekyen 39B (2) telah membantu agensi penguatkuasaan dalam mengendalikan aktiviti membanteras pengedaran dadah di dalam dan luar negara.