Irmohizam Ibrahim

Perkara itu dijelaskan oleh Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim (BN - Kuala Selangor) yang berpendapat, pindaan tersebut akan menambah baik ujian kemampuan untuk menyediakan khidmat kepada golongan yang benar-benar layak dibantu.

Menurutnya, pindaan RUU itu penting agar peranan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) lebih sesuai dengan perkembangan semasa masyarakat masa kini.

“Merujuk kepada pindaan Seksyen 29 yang menggantikan perkataan ‘orang yang bermastautin’ kepada perkataan ‘warganegara’. Pindaan ini secara nyata telah mengkhususkan khidmat guaman JBG hanya boleh diterima oleh warganegara.

“Perubahan ini juga selari dengan objektif penubuhan JBG yang ingin membantu golongan tidak berkemampuan dalam mendapatkan bantuan guaman.

“Saya percaya Jabatan Perdana Menteri akan menyediakan satu kelayakan standard bagi membolehkan rakyat yang layak menerima bantuan daripada JBG,” katanya ketika membahaskan RUU Bantuan Guaman (Pindaan) 2017 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Irmohizam berkata, peruntukan baharu yang dicadangkan dalam pindaan RUU tersebut iaitu khidmat pendamping guaman dilihat melengkapi Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang diluluskan baru-baru ini.

Katanya, peruntukan per­khidmatan pendamping guaman itu sebagai satu kesinambungan kepada Mahkamah Jenayah Khas yang mengendalikan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.

“Sememangnya mangsa ini diwakili oleh pegawai pendakwa dan peguam bela bagi mendapatkan keadilan.

“Namun, sebagai mangsa, khidmat bantuan guaman ini akan membantu menasihati keluarga mangsa mengenai proses undang-undang, boleh membantu mangsa untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan pertuduhan terhadap orang tertuduh dalam mana-mana prosiding jenayah,” jelas beliau.