RAZALI IBRAHIM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, pindaan akta itu juga bagi membolehkan seseorang hakim meletakkan jawatan pada apa-apa umur tanpa kehilang­an hak pencennya.

Walau bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada syarat bahawa hakim tersebut telah meme­gang jawatan itu selama tempoh berterusan tidak kurang daripada lima tahun.

“Tempoh perkhidmatan ber­terusan tidak kurang daripada lima tahun itu adalah termasuk tempoh perkhidmatannya sebagai pesuruhjaya kehakiman sebelum pelantikannya sebagai seorang hakim.

“Kuasa Yang di-Pertuan Agong turut akan diperluaskan untuk menghendaki seseorang hakim berkhidmat dalam jawatan lain pada apa-apa umur sama ada de­ngan melepaskan jawatannya sebagai hakim atau tidak,” katanya ketika mem­bentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua.

Menurut Razali, jika seseorang hakim dikehendaki untuk berkhid­mat dalam jawatan lain demi kepentingan negara, saraan hakim tersebut adalah berhak kepadanya dalam tempoh dia berkhidmat dalam jawatan yang lain itu.

Katanya, beliau hendaklah dibayar oleh badan yang hakim itu berkhidmat dalam jawatan yang lain tersebut.

“Sekiranya dia dikehendaki untuk melepaskan jawatannya sebagai hakim dan tidak dilantik semula, dia hendaklah disifatkan telah berkhidmat sebagai hakim sehingga umur 66 tahun dan bersara menurut perenggan 8(a) akta berkenaan.

“Cadangan pindaan ini adalah untuk memelihara imej dan kredibiliti institusi kehakiman.

“Tugas sebagai hakim menuntut komitmen yang sangat tinggi, tahap kesihatan mental dan fizikal yang baik serta dapat menghasilkan alasan penghakiman yang berkualiti yang akan dinilai oleh pihak-pihak berkepentingan, pengamal undang-undang, masyarakat awam serta komuniti antarabangsa,” katanya.