IRMOHIZAM IBRAHIM

Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berkata, keputusan tersebut dapat menyediakan peluang kedua untuk hidup kepada keldai dadah dan memberi keadilan yang sewajarnya kepada mereka berbanding sebelum pindaan itu dibuat.

“Mengapa tidak? Kerana ada dalam kalangan mereka diania­ya dan ditipu oleh sindiket dadah dengan menjadikan mereka terperangkap dalam situasi yang membawa ke tali gantung.

“Maka pada hemat saya, pindaan terhadap Seksyen 39B dengan memperuntukkan kuasa budi bicara hakim adalah perlu memandangkan hukuman mati mandatori yang diperuntukkan sebelum ini agak berat.

“Di samping itu, darjah pembuktian kes sangat berat kerana memerlukan pendakwa raya membuktikan bahawa kes ini melebihi keraguan munasabah ataupun ‘beyond reasonable doubt’,” katanya ketika membahaskan pindaan Seksyen 39B (2A) (d) RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017, hari ini.

Irmohizam menambah, kebiasaannya, sesuatu kes perbicaraan terpaksa mengambil masa yang sangat lama hingga memakan tahun dan mengakibatkan lambakan kes yang gagal diselesaikan dengan cepat.

Sehubungan itu, jelasnya, pindaan tersebut akan memberikan peluang kepada hakim untuk membuat pilihan hukuman selain daripada hukuman mati, hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada lima belas kali.

“Harus diketahui bahawa kali terakhir akta ini dipinda adalah pada 1983 dengan memasukkan pindaan peruntukan hukuman mati mandatori kepada individu yang mengedar dadah.

“Oleh itu, pada hemat saya, pindaan terhadap ini adalah relevan dan rasional, menepati kehendak dan keperluan semasa,” ujarnya.