Itu merupakan luahan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jama­luddin yang menegaskan laporan audit daripada Jabatan Audit Negara seharusnya bebas dan berkecuali serta tidak boleh diarahkan untuk membuat pindaan.

KHAIRY JAMALUDDIN
KHAIRY JAMALUDDIN 

Malah, jelas Khairy, barisan jemaah menteri Barisan Nasio­nal (BN) sebelum ini juga tidak pernah diberitahu atau dilaporkan mengenai kehadiran ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

“Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberitahu telah mem­beri penjelasan dalam ja­wa­pan di Parlimen bahawa be­liau menerusi Kementerian Ke­wangan mengesahkan kehadiran Jho Low dalam me­syuarat 1MDB.

“Namun begitu, ji­ka benar kenyataan Najib itu, mengapa Ke­tua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mengatakan ada arahan untuk meminda laporan tersebut. Ada per­canggahan ke­nya­taan di situ.

“Jadi, kita tunggu penjelasan Madinah mengenai perkara ini dan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bermula hari ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan Najib didakwa telah mengarahkan agar laporan asal 1MDB yang disediakan oleh Ketua Audit Negara semasa itu, Tan Sri Ambrin Buang dipinda.

Akhbar tersebut memetik sumber sebagai berkata, pindaan itu difahamkan dibuat bagi mengeluarkan maklumat pembabitan bekas Perdana Menteri itu dan ahli perniagaan, Jho Taek Low (Jho Low) dalam aktiviti 1MDB.

Sumber tersebut tu­rut menyatakan ke­pada Utusan Malaysia bahawa Madinah telah membentangkan laporan asal 1MDB tersebut kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan beliau mengesahkan perkara tersebut menerusi satu kenya­taan semalam.