Mohd. Radzi Md. Jidin

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, sekiranya situasi itu berlaku, Petronas boleh ditutup sekali gus memberi kesan bukan sahaja terhadap syarikat minyak milik negara itu malah turut melibatkan kerajaan Persekutuan dan ne­geri.

Menurut beliau, sebanyak 10 peratus royalti dalam bentuk bayaran tunai iaitu lima peratus kepada kerajaan negeri dan lima peratus kepada kerajaan Persekutuan dibayar dua kali setahun iaitu Februari dan Ogos.

“Seterusnya, sejumlah 70 pe­ratus kos pengeluaran perlu di­bia­yai dan tinggal 20 peratus, tolak pula cukai pendapatan petroleum sebanyak lapan peratus maka baki adalah 12 peratus yang perlu kongsi dengan syarikat kontraktor berdasarkan perjanjian yang dimeterai bersama.

“Jika cadangan penambahan royalti 20 peratus dibuat, maka akan menyebabkan jatuh negatif hasil Petronas malah kesannya akan melibatkan rakyat serta pekerja-pekerja dalam bidang ini,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr. Nuing Jeluing yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan menaikkan royalti minyak 20 peratus secara beransur-ansur dalam tempoh lima tahun seperti yang terkan­dung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam sidang Dewan Rakyat 20 Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan meme­nuhi janji menyalurkan royal­ti 20 peratus kepada negeri-­negeri pengeluar minyak seperti Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Radzi menjelaskan, pindaan terhadap Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) juga perlu dilaksanakan terlebih dahulu sekiranya kerajaan PH berhasrat melaksanakan penambahan royalti tersebut.

Menurut beliau, ketika manifesto PRU-14 dirangka, PH me­ngira peningkatan berdasarkan keuntungan bersih sedangkan yang digariskan di bawah peruntukan undang-undang itu adalah melalui keuntungan kasar.