KUALA LUMPUR 16 Mac – Kerajaan telah mengenal pasti tiada sebarang masalah teknikal berlaku pada pesawat Beechcraft King Air 200T yang terhempas di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Disember tahun lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum berkata, pihaknya telah menghantar seorang jurulatih penguji TUDM ke pusat simulasi di Texas, Amerika Syarikat untuk membuat penilaian mengenai nahas tersebut.
Katanya, hasil penilaian yang diterima mendapati tiada sebarang masalah teknikal dikesan, membolehkan pesawat milik TUDM itu masih boleh digunakan.
“Hasil laporan itu turut mendapati kemalangan itu berlaku semasa pembantu juruterbang pelatih melakukan penerbangan Asymmetric Circuit iaitu simulasi satu enjin tidak berfungsi.
“Latihan ini perlu dilakukan oleh semua juruterbang TUDM ketika menjalani latihan peralihan pesawat. Jadi, kami menklasifikasikan kemalangan yang berlaku itu sebagai latihan bahaya (training hazard),” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (Pas-Kubang Kerian) mengenai hasil laporan siasat tragedi nahas pesawat Beechcraft yang terhempas di Butterworth, Pulau Pinang hujung tahun lalu, ketika sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Mohd. Johari, usia pesawat disifatkan tidak begitu penting selagi kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan mengikut jadual seperti pesawat Nuri yang masih boleh digunakan hingga hari ini.
Katanya, atas sebab itu TUDM sentiasa memastikan semua pesawat diselenggara dengan baik selain menitikberat piawaian dalam semua aspek latihan dan operasi.