Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, jemaah menteri pada 31 Oktober lalu telah memutuskan supaya kementeriannya diberikan tempoh enam bulan bagi mengemukakan mekanisme untuk mencapai matlamat tersebut.

“Kementerian akan melantik perunding audit bebas bertauliah pada Januari 2019 bagi membantu kerajaan menganalisis data cadangan berkenaan, termasuklah mengemukakan cadangan mengurangkan beban tol untuk tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Hasil kajian itu dijangka dibentangkan untuk pertimbangan serta persetujuan jemaah menteri pada Mei 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanyakan bilakah kerajaan akan memberhentikan kutipan tol di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Utara Selatan seperti dijanjikan dalam manifesto PRU-14, semasa sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. - UTUSAN ONLINE