Senator K. Bathmavathi berkata, ketika ini, sebanyak 31 barangan dikecualikan daripada cukai tersebut untuk golongan berkenaan, namun didapati masih belum mencukupi.

Kata beliau, barangan itu antaranya meliputi kerusi roda bermotor, tongkat, tongkat putih (white cane) dan alat bantuan pendengaran untuk golongan tersebut.

“Pada mulanya, hanya 11 barangan dikecualikan daripada GST apabila cukai itu dilaksanakan, kemudian ditambah 20 lagi sehingga jumlah keseluruhan ketika ini sebanyak 31 barangan.

“Sebenarnya terdapat banyak barangan keperluan untuk OKU yang perlu disenaraikan sebagai sifar GST,” katanya.

Beliau membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Selain itu, Bathmavathi turut meminta kerajaan mengadakan perbincangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk mengenal pasti jenis barangan lain khusus untuk OKU yang harus diberi pelepasan yang sama.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan sebuah dana khas diwujudkan bagi membantu OKU memiliki rumah sendiri.

Kata beliau, langkah itu amat penting kerana terdapat golongan itu yang tidak mampu membiayai bayaran pendahuluan untuk membeli rumah daripada projek seperti Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) walaupun deposit yang ditawarkan kurang berbanding orang biasa.

“Sehubungan itu, saya ingin tanya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan apa mekanisme yang diwujudkan untuk membantu OKU di negara ini memiliki rumah sendiri.

“Adakah pihak kementerian menyediakan dana khas dan bagaimana maklumat itu diuar-uarkan kepada golongan tersebut. Jika ada, saya minta agar maklumat itu dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara agar diketahui oleh mereka,”katanya. - UTUSAN ONLINE