Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala berkata, ketika ini, laluan basikal sepanjang 11 kilometer (km) itu tertakluk kepada Akta Pengangkutan Jalan.

“Kami sedar, memang kita perlukan rang undang-undang untuk kawal selia penggunaan jalan basikal ini, Yang Berhormat mengetahui setakat ini kita memang belum ada,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara hari ini.

Mohd. Suhaimi ingin mengetahui sama ada perlunya rang undang-undang baharu untuk mengawal selia penggunaan laluan basikal di Kuala Lumpur.

Loga Bala berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika ini sedang menjalankan pengauditan bagi lorong basikal dalam usaha melakukan penambahbaikan terutamanya dari segi keselamatan.

Menurut beliau, langkah itu bagi mengatasi masalah beberapa lorong basikal ditakungi air apabila hujan.

"Pengauditan itu termasuk mendapatkan pandangan daripada Persatuan Berbasikal Malaysia, Persatuan Motosikal, Bahagian Rekabentuk Jabatan Kerja Raya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros)," jelasnya. – UTUSAN ONLINE