Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, langkah itu selaras dengan sasaran ke-16 Agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 yang mewajibkan setiap negara membenarkan rakyat mendapatkan akses kepada maklumat dan kebebasan asasi.

Kata beliau, di Malaysia, semua kebebasan itu dilindungi di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan membentuk sebahagian daripada kebebasan asas setiap individu di negara ini, bagaimanapun jaminan tersebut adalah tidak mutlak.

“Berdasarkan Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen diberi hak untuk melaksanakan sekatan seperti itu memandangkan ia amat perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan dan alasan lain yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Rundingan Meja Bulat bersama Ahli Parlimen: Menyelaras Undang-undang mengenai kebebasan bersuara dan media serta akses kepada maklumat mengikut piawaian antarabangsa anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Bangunan Parlimen di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE