Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Khairudin Samad berkata, tindakan tersebut amat penting dan perlu dilaksanakan segera memandangkan masalah itu boleh menyebabkan kerajaan mengalami kerugian jutaan ringgit setiap tahun.

Jelas beliau, kaedah sedia ada memberi ruang kepada golongan PATI mengambil kesempatan menggunakan kad pengenalan palsu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital kerajaan dengan bayaran murah.

"Kebiasaannya, pesakit hanya perlu memberi kad pengenalan, tulis nama dan tunggu nama mereka dipanggil, tiada alat pembaca kad untuk mengesahkan kesahihan kad pengenalan itu," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Khairudin turut mencadangkan penggunaan teknologi terkini seperti sistem pembaca kad bagi mengesahkan identiti pesakit. - UTUSAN ONLINE