Rohani Abdul Karim

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, EPO yang juga perintah perlindungan sementara (ex-parte) boleh diperoleh segera daripada pegawai kebajikan masyarakat yang diberi kuasa sekiranya mangsa dalam keadaan ketakutan didera secara fizikal atau mangsa telah dicederakan.

Kata beliau, pelanggaran pe­rintah itu akan menyebabkan pelaku boleh dikenakan denda RM4,000, penjara setahun atau kedua-duanya, manakala pelanggaran kali kedua pula didenda RM5,000 atau penjara antara 72 jam sehingga dua tahun atau ke­dua-duanya.

“Sebelum ini di bawah akta sedia ada, jika keganasan rumah tangga berlaku pada hujung ming­gu, agak sukar bagi kementerian untuk memohon perintah perlindungan kerana mahkamah tidak beroperasi pada waktu itu. Selepas pindaan ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh mengeluarkan EPO yang sah laku selama seminggu.

“Mangsa hanya perlu meng­hubungi JKM dan pegawai kami akan mengeluarkan EPO serta dengan bantuan polis me­­­n­yam­paikan perintah itu kepada mangsa. Semua urusan akan di­selesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Rang Undang-undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 juga dibacakan bersama Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) yang memperluaskan pemakaian Seksyen 326A Kanun Keseksaan iaitu mengenakan hukuman penjara mandatori dua kali ganda kepada pesalah keganasan rumah tangga terhadap bekas suami, isteri, kanak-kanak dan anggota keluarga.

Pindaan-pindaan tersebut akan dikuatkuasakan oleh pihak JKM, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mahkamah sekiranya diluluskan Parlimen.

Dalam pada itu Rohani berkata, elemen lain yang turut diketengahkan dalam rang undang-undang tersebut adalah pemberian hak peng­hunian eksklusif kediaman bersama kepada mangsa bagi memberi perlindungan terhadap keselamatan diri mangsa semasa dalam perintah perlin­dungan interim (IPO) dan perintah perlindungan (PO).

“Sebelum ini, hak diberikan kepada suami atau isteri walaupun seorang daripadanya adalah si pelaku untuk tinggal di rumah yang sama. Kita dapati cara ini tidak dapat menyelesaikan masalah.

“Jadi, selepas pindaan ini, si pelaku akan diminta keluar dari rumah dan tidak boleh tinggal bersama selama seminggu (tempoh bertenang) untuk selesaikan masalah antara mereka,” katanya.

Menurut beliau, tiga elemen lain yang turut diberi perhatian adalah memperluaskan tafsiran keganasan rumah tangga, memperkenalkan program pemulihan di bawah kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta penambahbaikan perintah IPO dan PO.

Sementara itu Rohani berkata, tujuan pindaan akta itu dilakukan adalah bagi mempertingkatkan perlindungan kepada mangsa, selain membantu memulihkan institusi kekeluargaan.

Kata beliau, berdasarkan sta­tistik PDRM, sebanyak 15,617 kes keganasan rumah tangga te­lah dilaporkan sepanjang tempoh 2014 sehingga tahun lalu.

“Malah, pada 2015, sebanyak­ 5,100 kes keganasan rumah ta­ngga dilaporkan, 26 peratus daripada jumlah tersebut membabitkan suami sebagai mangsa. Oleh itu, melihat kepada peningkatan kes keganasan pada masa ini, kementerian mencadangkan pindaan kepada akta itu,” katanya.