LEE CHEE LEONG

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Lee Chee Leong berkata, langkah itu menunjukkan peluang bagi rakyat tempatan untuk memiliki rumah masih tidak terjejas.

Kata beliau, pada tahun lalu, sebanyak 203,064 unit rumah telah dijual di pasaran dengan 0.3 peratus (706 unit) daripada jumlah itu dibeli oleh warga asing.

“Manakala pada 2015 pula, sebanyak 1,156 unit rumah (0.5 peratus) dibeli oleh warga asing daripada 235,967 unit rumah yang telah dijual di pasaran.

“Memandangkan pembelian hartanah oleh warga asing adalah tertakluk kepada harga yang melebihi RM1 juta sahaja dan pera­tus pindah milik kepada warga asing untuk pelbagai sektor hartanah dilaporkan kurang daripada dua peratus, maka dapat disimpulkan peluang warga tempatan miliki rumah tidak terjejas,” katanya ketika sesi soal jawab dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Chia Song Cheng yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah hartanah yang telah dimiliki oleh warga asing di negara ini.

Tambah Chee Leong, berdasarkan rekod, bilangan hartanah kediaman melebihi RM1 juta yang tidak dijual telah meningkat jumlahnya dari tahun 2014 iaitu sebanyak 413 unit kepada 2,116 unit, tahun lalu.