Ahmad Shabery Cheek

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu bagi menyambut baik saranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai isu penyelewengan dan penyeludupan diesel bersubsidi di bawah kementerian tersebut.

Katanya, kemungkinan pera­nan LKIM akan diberikan kepada agensi lain juga akan diperhalusi dalam tempoh terdekat.

“Pengagihan diesel bersubsid­i kepada para nelayan dilaksanakan pada 2009 berikutan ke­naikan kadar harga minyak yang tinggi dan ia diteruskan hingga 2013.

“Atas sebab itu, kerajaan berpendapat subsidi diesel perlu diberi kepada para nelayan. Walau bagaimanapun, isu subsidi diesel boleh menyebabkan ke­tirisan dan penyalahgunaan kuasa kerana nilainya besar,” kata­nya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas pem­bentangan PAC dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mengenai isu penyelewengan dan penyeludupan diesel bersubsidi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Ha­san Arifin meminta supaya kerajaan merombak secara menyeluruh sistem pengagihan subsidi diesel kepada nelayan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman berharap be­kas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menjadi seper­ti calon pilihan raya Amerika Syarikat da­­ripada Parti Republikan, Donald Trumph.

Katanya, ia berikutan Dr. Mahathir bersama barisan pembangkang mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak adil dan berat sebelah terhadap Ahli-ahli Parlimen kerajaan.

“Saya yakin Dr. Mahathir lebih memahami struktur politik negara kerana isu adil dan berat sebelah ini agak subjektif. Adakah jika Yang Dipertua memihak kepada pembangkang, baharu diklasifikasikan sebagai adil?

“Selain itu, beliau juga lebih arif mengenai pelantikan Yang Dipertua adalah dalam kalangan yang disenangi, jadi tidak timbul sebarang isu mengenai peranan Pandikar Amin,” katanya.